Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan vs Kebebasan Bersuara Kebebasan Bersuara di Malaysia

Ahli parlimen mempunyai kebebasan bersuara yang lebih luas semasa berada dalam prosiding Parlimen. Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keistimewaan Parlimen yang menjamin hak ahli Parlimen ketika mereka membincangkan sesuatu isu dalam sidang Parlimen. Perkara 63(2) memperuntukkan tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara). Walaupun ahli Parlimen mempunyai hak bersura yang luas semasa berada dalam prosiding Parlimen, mereka juga tertakluk kepada sekatan yang diperuntukkan dalam perkara 63(4) iaitu mereka tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti dalam perkara 10(4) dan juga mengatakan sesuatu yang akan dihukum di bawah Akta Hasutan 1948. Merujuk kepada kes Mark Koding lwn Pendakwa Raya[11], seseorang ahli Dewan Rakyat telah dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana telah menyentuh isu sensitif dalam Parlimen. Isu sensitif yang dibangkitkan olehnya ialah sekolah Cina dan Tamil perlu ditutup serta mengehadkan penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di papan tanda jalan raya. Suffian LP di mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa walaupun perkara 63(2) memberi kebebasan bersuara kepada ahli Parlimen, namun terdapat sekatan-sekatan dikenakan terhadap kebebasan tersebut seperti yang diperuntukkan dalam perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan.

Daripada kes-kes yang telah diputus oleh mahkamah [12], kita dapat lihat kebebasan bercakap atau bersuara di negara kita tidak dijaminkan secara mutlak tetapi tertakluk kepada sekatan yang berpatutan.